Wednesday, February 18, 2009

Pengenalan

Perkataan EKONOMI berasal daripada bahasa Greek, iaitu "oikounomos" yang bermaksud 'peraturan rumah tangga'.
Dalam erti kata lain, ilmu ekonomi didefinisikan sebagai satu kajian sains sosial yang mengkaji bagaimana individu dan masyarakat membuat pilihan memperuntukkan sumber ekonomi terhad untuk mengeluarkan barang dan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak masyarakat yang tidak terbatas.

Matlamat Umum

Sukatan pelajaran ini bertujuan untuk membolehkan pelajar mengetahui, memahami, dan menguasai asas ilmu ekonomi pada tahap prauniversiti. Di samping itu, sukatan pelajaran ini juga bertujuan untuk membolehkan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Matlamat Khusus

Sukatan pelajaran ini bertujuan untuk:
(a) menyediakan pelajar dengan kefahaman ke atas konsep ekonomi;
(b) menyediakan kemahiran menggunakan analisis empirik mudah dalam menerangkan isu ekonomi;
(c) menggalakkan pelajar berhujah secara lisan dan tulisan dengan menggunakan statistik dan gambar rajah apabila perlu;
(d) mendorong pelajar untuk mencari sumber maklumat tentang perkembangan ekonomi semasa, dan
(e) menyediakan kemahiran asas mentakrifkan data ekonomi.

Kandungan

Sukatan pelajaran Ekonomi terdiri daripada tiga bahagian seperti yang berikut:
(a) Pengenalan
(b) Mikroekonomi
(c) Makroekonomi (termasuk Ekonomi Malaysia)